Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan SMK Taman Selayang telah menganjurkan Program Komuniti Pendidikan: Trails of Dream 2025 bertempat di Dewan Wadi Budi dan Kuliyyah Pendidikan, UIAM.
Program ini bertujuan memberi suntikan semangat serta meningkatkan motivasi pelajar tingkatan enam SMK Taman Selayang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Seramai 100 pelajar telah menyertai program ini yang turut melibatkan pelbagai sesi ilmiah dan aktiviti interaktif.
Antara pengisian utama ialah amanat daripada Prof. Madya Dr. Suhailah binti Hussein, sesi motivasi bersama Dr. Mohd Hatta Othman, serta aktiviti laluan kerjaya dan Tour De Campus yang memberi peluang pelajar mengenali suasana pembelajaran di UIAM dengan lebih dekat.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS. Turut hadir Prof. Madya Dr. Ariffin bin Mamat, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar & Pembangunan Masyarakat) Kuliyyah Pendidikan UIAM; Puan Norlia binti Samin, Timbalan Pegawai Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Gombak; Pn. Farizan binti Mohd Mydin, Penolong Kanan Pentadbiran Pusat Tingkatan 6 SMK Taman Selayang; serta Tuan Megat Mohd Fadhli bin Zakaria, Ahli Majlis Zon 1 MPS.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen MPS dalam menyokong pembangunan potensi generasi muda melalui pendidikan dan kolaborasi strategik bersama institusi pengajian. Diharapkan program seperti ini terus menjadi platform membina keyakinan serta mencetus inspirasi buat pelajar untuk mencapai impian mereka.