Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Korporat telah menganjurkan Kursus Asas Kemahiran Teknologi Digital: Canva yang menerima penyertaan menggalakkan daripada kakitangan dalaman MPS. Kursus ini bertujuan memperkenalkan peserta kepada platform penyuntingan grafik yang mudah digunakan bagi tujuan promosi dan tugasan harian.
Kursus tersebut merangkumi pengenalan kepada Visual Worksuite Canva serta latihan praktikal seperti pemilihan elemen dan foto, penggunaan pelbagai jenis fon dan kesan teks, serta kaedah memuat turun fail dalam format JPG atau PNG. Peserta turut didedahkan kepada cara mengakses dan memanfaatkan templat profesional yang disediakan dalam platform tersebut, sekali gus membolehkan mereka menghasilkan reka bentuk poster bagi pelbagai keperluan promosi.
MPS komited untuk terus menganjurkan program pembangunan kemahiran seumpama ini dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kemampuan warga kerja, seterusnya menyokong aspirasi perkhidmatan awam yang lebih cekap, dinamik dan berorientasikan digital.