Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Landskap telah menganjurkan Program Penghijauan Perdana MPS 2025 bertempat di Tasik Kota Emerald, Rawang, dengan kerjasama Tetuan GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd.
Penganjuran ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan usaha menghijaukan kawasan perbandaran melalui aktiviti penanaman pokok, selaras dengan inisiatif menyokong Kempen Penanaman 26 Juta Pokok peringkat Negeri Selangor menjelang 2026.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, diikuti penyampaian sijil penghargaan kepada organisasi yang terlibat dalam menjayakan program ini, iaitu:
1. GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd.
2. KL-Kepong Industrial Holding Sdn. Bhd. (Palm Oleo)
3. Daikin Malaysia
4. Kian Joo Can Factory Berhad (KJCF)
5. Universiti Utara Malaysia
6. Kolej Komuniti Selayang
7. ANULAE Cawangan Selayang
Sebagai simbolik perasmian, Tuan Yang Dipertua bersama jemputan kehormat turut menyempurnakan gimik penanaman pokok sebagai manifestasi komitmen MPS dalam memperluas kawasan hijau serta meningkatkan kualiti alam sekitar.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; Encik Wee Kwang Yong, Pengarah Pembangunan GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd.; Tuan LAr. Mokhtar Affandi bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Landskap MPS; Encik Chew Han Min, Ketua Projek GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd., serta Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan MPS.
Dengan pelaksanaan program ini, MPS mengukuhkan peranan sebagai pihak berkuasa tempatan yang proaktif dalam memperluas kawasan hijau, meningkatkan kualiti persekitaran dan menyokong pembangunan bandar yang seimbang. Usaha berterusan ini diharap dapat memupuk budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan komuniti Selayang.
PENGHIJAUAN PERDANA MPS 2025